31 Mac 2026, Kota Belud – Satu majlis perpisahan yang penuh emosi dan bermakna telah diadakan di Dewan Wawasan SMK Taun Gusi II bagi meraikan pemergian Pengetua sekolah, Encik Anjan Rudin, yang bakal memulakan tugas baharu di SMK Arshad, Kota Belud mulai 1 April 2026. Beliau mula berkhidmat sebagai Pengetua SMK Taun Gusi II pada 2 Mei 2024.
Majlis tersebut dihadiri oleh barisan
guru kanan, para guru, serta pelajar sebagai tanda penghargaan terhadap
kepimpinan dan jasa beliau sepanjang hampir dua tahun menerajui sekolah.
Dalam ucapan perpisahannya, Encik
Anjan menegaskan bahawa kekuatan sebenar sesebuah institusi terletak pada semangat
kebersamaan. Menurut beliau, kejayaan sekolah hadir apabila tiada jurang
antara pengetua, guru, dan pelajar, dan semua pihak bergerak seiring untuk
mencapai kecemerlangan.
Beliau turut dikenang sebagai
pemimpin yang berjaya mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif,
harmoni serta memberi ruang kepada warga sekolah untuk berkembang dengan lebih
positif.
Dalam amanatnya, beliau menekankan
nilai hormat sebagai asas kejayaan.
“Hanya yang menghormati ketua yang
berjaya,” katanya.
Beliau juga berpesan kepada pelajar
agar sentiasa menuntut ilmu dengan gigih.
“Dapatkan ilmu sebanyak-banyaknya
supaya tidak diinjak-injak orang,”
tegasnya.
Encik Anjan turut memberikan
kata-kata motivasi yang menyentuh hati pelajar.
“Belajarlah bersungguh-sungguh.
Suatu hari nanti kamu akan menjadi seperti saya,” katanya sambil mengingatkan bahawa setiap pelajar perlu
berusaha menjadi insan terpilih.
“Jadilah insan yang terpilih, jadilah hero bagi ibu bapa kamu.”
Majlis yang ringkas namun bermakna
itu diakhiri dengan penyampaian cenderahati serta ucapan penghargaan daripada
warga sekolah. Suasana pilu dan penuh rasa rindu jelas terpancar ketika guru
dan pelajar berbaris untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.
SMK Taun Gusi II mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan dan mendoakan agar Encik Anjan Rudin terus
cemerlang dalam tugas baharunya di SMK Arshad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan